Sunday, August 16, 2009

Sastera Pengaruh Islam

1. DEFINISI SASTERA

Istilah ‘Sastera’ ialah kata pinjaman bahasa Sanskrit iaitu ‘Susastra’ yang membawa maksud yang luas yang meliputi semua hasil penciptaan yang diungkapkan secara lisan mahu pun dizahirkan melalui penulisan. Kata dasar ‘su’ bererti indah, manakala ‘sastra’ membawa maksud huruf atau tulisan yang mengandungi pengajaran, arahan atau petunjuk cara bagaimana sesuatu itu harus dilakukan. Menurut Ismail Hussein : 1997 “sastera atau kesusasteraan membawa maksud keindahan bahasa”. Manakala Rahman Shaari memberi maksud sastera di dalam bukunya (Bimbingan Istilah Sastera : 2001: 89) sebagai karya seni bahasa. Secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa sastera atau kesusasteraan adalah merujuk penghasilan segala karya yang menggunakan bahasa yang indah, halus dan menarik serta dapat mempengaruhi perasaan seseorang itu yang mendengar atau membacanya.

2. KONSEP DAN CIRI-CIRI SASTERA PENGARUH ISLAM

Dalam kajian ini, sastera pengaruh Islam merujuk kepada penciptaan karya sastera berbentuk prosa dan puisi yang dihasilkan seiring dengan kedatangan Islam ke Nusantara pada abad ke-13 hingga abad ke-20 atau lebih dikenali zaman Melayu Klasik. Sastera pengaruh Islam mempamerkan tema atau pokok persoalan yang memiliki nilai-nilai etika Islam.

Bermula daripada karya yang bersifat mudah hinggalah kepada kompleks, semua hasil karya yang disesuaikan atau diterjemahkan dapat dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan prosa dan puisi. Karya pengaruh Islam berbentuk puisi ialah seperti syair yang mengandungi tulisan berangkap dan berpola rima aaaa. Bentuk syair ini digunakan bagi karrya naratif atau bukan naratif adalah berbentuk penceritaan. Contoh pengarang yang menghasilkan syair ialah Hamzah Fansuri (Acheh) dengan ‘Syair Burung Pingai’ dan ‘Syair Perahu’. Bentuk lain puisi lain yang diperkenalkan setelah kedatangan Islam ialah rubai, nazam, dan ghazal. Selain itu sebahagian besar karya pengaruh Islam berbentuk prosa yang boleh dibahagikan kepada bentuk naratif dan bukan naratif. Bentuk naratif seperti cerita berbentuk hikayat, manakala yang berbentuk bukan naratif pula merupakan kitab atau salasatin. Ciri-ciri sastera pengaruh Islam yang dikenalpasti terdapat dalam hasil sastera Melayu adalah seperti berikut :

2.1 Karya-karya ditulis menggunakan tulisan Jawi. Huruf atau askara

dipinjam daripada bahasa Arab, kemudiannya ditambah dengan askrara baharu

mengikut kesesuaian sebutan dan nahu Melayu seperti ‘pa’( ), ‘nga’( ڠ),

‘ga’( ), ‘nya’( ) dan ‘ca’(چ). Selain itu bahasa Melayujuga turut menerima

beberapa fonem Arab seperti ‘kh’ ( ) seperti ‘Khamis’, Z ( ) seperti ‘zakat’ ,

Sy ( ) seperti ‘syarat’ dan lain-lain.

2.2 Penggunaan kata pinjaman dan bentuk ayat serta rangkai kata pengaruh

Bentuk bahasa Arab. Hampir kesemua ayat yang digunakan adalah ayat aktif dan ayat songsang. Ini kerana penulisan dan penterjemahan teks dilakukan oleh tokoh ilmuan yang mendapat pendidikan dari Asia Barat. Justeru sebelum wujudnya tulisan Jawi pengaruh Melayu, sistem ejaan Arab telah digunakan iaitu dengan menggunakan tanda baris seperti bagi perkataan ‘maka’ ( ﻤک ), ‘dia’

( ﺪﻱ ) , ‘kuda’ ( ﮐﻮﺪ )dan lain-lain.

2.3 Permulaan cerita mengungkapkan kata-kata pujian kepada Allah. Semua hikayat sastera pengaruh Islam ada mengandungi ciri-ciri ini yang berfungsi sebagai pemula cerita.

2.4 Hikayat menceritakan tentang Nabi Muhammad, Para Nabi, Para Sahabat, Pahlawan Islam dan Para Alim Ulama. Kisah menyentuh mengenai cara hidup, pemikiran, sifat-sifat terpuji dan diselitkan juga sifat jahil manusia yang menduga keimanan Baginda, para Nabi dan para Ulama.

2.5 Gambaran unsur Islam dalam adat istiadat seperti mengaji, khatam dan menghafaz Al-Qur’an, mendirikan solat serta perkara yang menjadi rukun dalam Islam.

2.6 Unsur imaginasi juga bercirikan Islam seperti watak Jin Islam dalam

hikayat. Walaupun gambaran yang diberikan bercorak khayalan dan rekaan semata-mata, namun ia bertujuan untuk menimbulkan keindahan dan daya penarik dalam karya. Meskipun begitu ia masih lagi mengandungi ciri atau pengaruh Islam.

3. SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE NUSANTARA

Kedatangan Islam ke Nusantara telah memperbaharui corak dan bentuk kesusasteraan serta budaya pemikiran masyarakat Melayu. Faktor ini penting kerana agama secara tidak langsung mempengaruhi fikiran, peraturan hidup, falsafah dan corak bahasa yang membentuk kebudayaan sesebuah masyarakat itu.

Terdapat pelbagai pendapat dan teori serta bukti yang diutarakan oleh para sarjana dan ahli sejarah mengenai tarikh awal kedatangan Islam ke Nusantara. Walaupun semua pendapat itu berbeza, tetapi pada umumnya ia dapat memeringkatkan perkembangan kesusasteraan pengaruh Islam mengikut peringkat pembentukan pusat-pusat perkembangan Islam di Nusantara. Pendapat pertama adalah dari keterangan pengembara Marco Polo yang telah singgah di Pasai pada tahun 1292 Masihi semasa dalam perjalanan pulang ke Itali dari negara China. Beliau mendapati adanya penggunaan bahasa Melayu (Jawi) dan rajanya yang beragama Islam. Keterangan ini dikuatkan dengan oleh ‘Sejarah Melayu’ yang menceritakan tentang kerajaan Islam tertua iaitu Samudera dengan penemuan batu nisan (bertulisan jawi) Sultan Malik Al-Saleh atau gelarannya Merah Silu yang mangkat pada tahun 1297 Masihi. Ada pendapat mengatakan bahawa Pasai dan Samudera telah diperintah oleh seorang raja yang sama. Selain itu, penemuan Batu Bersurat bertulisan Jawi di Terengganu yang bertarikh 1303 Masihi serta penemuan dinar emas yang telah membuktikan kewujudan kerajaan Islam di Kelantan pada abad ke-13. Melaka pula menerima Islam pada 1409 apabila Raja Kecil Besar memeluk Islam serta memakai gelaran Sultan Muhammad Syah atau Parameswara Iskandar Syah. Dari Pasai dan Melaka, pengaruh Islam telah berkembang ke seluruh kepulauan Melayu. Antaranya Pulau Jawa Barat dan Tengah, Gersik, Demak, Kepulauan Maluku, Sumatera Barat dan Sumatera Selatan.

Namun begitu, terdapat perselisihan pendapat mengenai sejarah kedatangan para pendakwah Islam ke alam Melayu. Ada sarjana mengatakan Islam datang dari Parsi. Manakala pengkaji lain pula berpendapat Nusantara menerima Islam dari orang Arab. Selain itu ada pendapat yang mengatakan pengaruh Islam datang melalui pedagang dari Selatan India sama ada dari Malabar atau Coromandel. Manakala Slamatmuljana melalui teorinya, beliau berpendapat bahawa Islam di Jawa dibawa masuk dari China. Pendapat terakhir daripada Prof. Dr. Syed Naquib Alattas (Sejarah Bahasa Melayu : hlmn 52) adalah yang paling kuat yang mengatakan bahawa penganutan Islam oleh masyarakat Melayu mempunyai pelbagai unsur yang datang dari pelbagai tempat. Ini kerana terdapat beberapa aliran atau mazhab seperti Hambali (Arab) ,Syi’ah (Parsi), Hanafi( China dan India) dan mazhab Syafi’e daripada golongan Ahli Sunnah Waljamaah merupakan aliran yang ramai penganutnya di Nusantara. Selain itu terdapat juga ajaran tarikat tasawuf seperti Naqsyabandiah, Syatariah, aliran Wahdat al-Wujud dan lain-lain.

Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa kedatangan Islam ke Nusantara berlaku dalam abad ke-13 dan ia telah berjaya mendominasikan pengaruh Hindu-Buddha sepenuhnya menjelang abad ke-14.

4. SEJARAH PERKEMBANGAN SASTERA PENGARUH ISLAM

Secara umumnya perbezaan teori kedatangan Islam merupakan petunjuk kepada permulaan pengaruh dan penerimaan Islam dalam masyarakat Melayu. Dari sudut perbincangan sejarah kebudayaan dan kesusasteraan Melayu, teori ini dapat digunakan kerana perkembangan kesusasteraan dan budaya adalah mengikut peringkat pembentukan pusat-pusat perkembangan Islam di Nusantara.

Para sarjana pengajian sastera Melayu telah membahagikan perkembangan kesusasteraan Melayu pengaruh Islam mengikut peringkat pembentukan pusat perkembangan Islam kepada empat zaman iaitu :

4.1 Zaman Samudera-Pasai (1280-1400)

Tarikh permulaan Islam pada zaman kerajaan ini dapat dibuktikan dengan

catatan sejarah Dinasti Yuan tentang kedatangan dua orang utusan dari Sumatera yang beragama Islam ke Istana Maharaja China pada 1282. Pengislaman kerajaan Samudera, Pasai dan Perlak turut disebut dalam Sejarah Melayu yang mengisahkan raja Islam yang pertama iaitu Malik al-Salih serta kedudukan ulama Pasai sebagai tempat rujukan bagi menyelesaikan segala masalah berhubung agama.

Pada zaman Samudera-Pasai ini, bentuk awal kesusasteraan Melayu berunsur Islam yang terhasil adalah cerita-cerita berbentuk lisan mengenai kisah Nabi Muhammad, cerita para nabi dan juga cerita para sahabat. Misalnya ‘Qisas al-Anbiya’ diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Tidak terkecuali lahirnya ‘Hikayat Nabi Wafat’, ‘Hikayat Nur Muhammad’, ‘Hikayat Bulan Berbelah’, ‘Kalimah Syahadah’ dan lain-lain lagi. Para pendakwah Islam menggunakan pendekatan penceritaan untuk menarik minat masyarakat Melayu untuk mengenali ajaran Islam. Ini kerana masyarakat pada masa itu telah terbiasa dengan dengan kaedah penceritaan epik Hindu seperti ‘Hikayat Ramayana’. Selain itu ‘Hikayat Raja-raja Pasai’ yang mengisahkan asal usul raja-raja Pasai dan keagungan kerajaannya, juga lahirnya beberapa kitab yang menerangkan persoalan akidah dan hukum-hukum Islam sebagai tempat rujukan raja-raja. Misalnya di Pasai, sebuah kitab ‘Bahr al-Lahut’ yang menerangkan tentang ajaran Islam karangan Syeikh Abdullah al-Arif. Zaman Samudera-Pasai ini merupakan fasa permulaan bagi penciptaan karya-karya sastera berunsurkan Islam yang sebelum ini bentuk kesusasteraan Melayu diwarnai dengan pengaruh Hindu-Budhha. Sehubungan itu terdapat hanya sedikit sahaja karya sasteranya. Pusat awal perkembangan kesusasteraan Melayu pengaruh Islam ini akhirnya hilang pengaruhnya setelah dikalahkan oleh Minangkabau.

4.2 Zaman Melaka (1400-1511)

Selepas kejatuhan Pasai, Melaka mengambil alih pusat perkembangan Islam di Nusantara. Menurut Sejarah Melayu yang menyebut mengenai kecenderungan sultan-sultan terhadap pegajian agama Islam. Pada zaman ini, perkembangan bahasa Melayu mencapai kemuncaknya kerana diangkat menjadi bahasa ‘lingua fanca’ dan perkembangan bidang kesusasteraan turut sama menjadi pesat. Ini kerana para penyebar Islam menggunakan bidang kesusasteraan sebagai medium penyampaian dakwah mereka kepada masyarakat Melayu pada ketika itu. Pada zaman ini lahir karya-karya yang berbentuk hikayat yang popular dan diceritakan di istana dan juga kepada rakyat jelata seperti ‘Hikayat Muhammad Hanafiah’, ‘Hikayat Iskandar Zulkarnain’ dan ‘Hikayat Amir Hamzah’ yang diterjemahkan dari karya Arab. Pada zaman Melaka ini juga, selain epik Melayu iaitu ‘Hikayat Hang Tuah’, karya epik Hindu seperti ‘Hikayat Ramayana’ diberi wajah baru iaitu ‘Hikayat Seri Rama’ dengan memasukkan unsur Islam seperti nama dewa ditukar kepada nama Allah dan budaya Hindu yang tidak bertentangan dengan akidah Islam dikekalkan. Selain itu karya tulisan berbahasa Melayu yang digarap dalam zaman Melaka ialah ‘Hukum Kanun Melaka’ dan ‘Undang-undang Laut Melaka’. Walaupun para sarjana mengkategorikannya sebagai kitab berbentuk undang-undang atau ketatanegaraan, tetapi bentuk bahasa indah dan halus yang digunakan tidak dapat lari daripada konsep sastera itu sendiri.

Hasil analisis mendapati kebanyakan hasil karya bercorak Islam yang terhasil dalam zaman ini dikarang dan diterjemah kembali daripada sumber Arab dan Parsi. Kemerosotan Melaka sebagai pusat perkembangan Islam dan kesusasteraan Melayu berlaku pada tahun 1511 setelah Portugis datang menyerang dan berjaya menakluki Melaka. Akhirnya perkembangan sastera Melayu pengaruh Islam beralih ke Johor dengan perpindahan Sultan Mahmud Syah bersama puteranya Raja Ahmad. Pada masa inilah munculnya beberapa orang pengarang seperti Tun Seri Lanang yang menulis ‘Sejarah Melayu’ pada tahun 1612.

4.3 Zaman Acheh (1511-1650)

Kemunculan kerajaan Acheh selepas kejatuhan Melaka merupakan kemuncak kegemilangan kepada perkembangan dalam bidang kesusasteraan Melayu pengaruh Islam. Ini kerana kesemua raja Acheh khususnya Raja Iskandar Muda (1607-1636), Sultan Iskandar Thani (1636-1641) dan Sultan Safiyat al-Din taj al-Alam (1641-1675) amat tegas dalam menjalankan syariat Islam. Penciptaan karya-karya asli seperti kitab bahasa Melayu dan syair sufi banyak dihasilkan pada zaman Sultan Iskandar Muda. Pengarang yang masyhur pada zaman itu ialah Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dan Bukhari al- Jauhari. Antara karya yang dihasilkan ialah Bustanus Salatin, Tajus Salatin, Syair Perahu, Syair Pungguk dan lain-lain. Terdapat karya yang hanya tinggal nama sahaja kerana timbulnya polemik Islam di Acheh di antara Hamzah Fansuri yang beraliran Wahdat al-Wujud dengan Nuruddin al-Raniri dari golongan Ahli Sunnah Waljamaah. Pada zaman Sultan Iskandar Thani ini, hampir semua karya Hamzah Fansuri dibakar oleh pemerintah kerana dikatakan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

4.4 Zaman Johor-Riau (1650-1800)

Dalam zaman ini, perkembangan dunia kesusasteraan Melayu pengaruh Islam diteruskan oleh penulis Johor-Riau yang terkenal iaitu Raja Ali Haji yang telah menghasilkan karya sastera seperti ‘Thuhfat al-Nafis’ serta ‘Salasilah Melayu dan Bugis’. Pada zaman ini, bahasa Melayu mencapai tahap keemasan kerana lahir pelbagai laras mengikut bidang wacana sepertibidang sastera, perundangan, sejarah dan lain-lain. Menjelang tahun 1824, perkembangan sastera di Johor-Riau mulai merosot dengan penguasaan Belanda ke atas kerajaan Johor-Riau. Walau bagaimanapun perkembangan kesusasteraan terus menerus berjalan di daerah lain seperti Pattani, Kelantan dan lain-lain.

Dapatlah disimpulkan penghasilan karya sastera pengaruh Islam dalam zaman kerajaan Samudera-Pasai dan Melaka banyak disadur atau diterjemah kembali dari bahasa Arab dan Parsi ke dalam bahasa Melayu bertulisan jawi pengaruh Arab. Kemudian pada zaman Acheh,barulah lahir karya-karya asli yang ditulis oleh ulama-ulama terkenal seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan lain-lain. Sehingga kini sebahagian besar karya sastera pengaruh Islam telah diterjemahkan atau ditulis kembali dalam bahasa Melayu menggunakan askara melayu klasik dan masih mengekalkan bentuk ayat Arab dan mengandungi kata pinjaman Arab.

5. FUNGSI DAN MAKNA PROSA NARATIF PENGARUH ISLAM

Prosa naratif ialah karya berbentuk hikayat. Menurut para sarjana Melayu, karya sastera pengaruh Islam berbentuk hikayat dapat dibahagikan kepada lima kumpulan. Iaitu :

5.1 Hikayat tentang Nabi Muhammad SAW.

Siri hikayat ini bertujuan untuk menceritakan kemuliaan Rasullullah SAW sebagai insan kamil di sisi Allah SWT. ‘Hikayat Nur Muhammad’ mencerminkan sifat Rasullullah yang mulia dan ini disokong dengan gambaran mukjizat dalam ‘Inilah Hikayat Peri Menyatakan Mukjizat Nabi’. Dalam ‘Hikayat Raja Khandaq’ pula memaparkan tentang kemenangan Rasullullah dalam peperangan. Selain jalan cerita yang bersandarkan kepada nas-nas, ia juga ada memasukkan unsur rekaan dan khayalan bagi menarik minat penganut Islam untuk menghayati karya sastera ini. Gambaran tentang sifat pembentukan diri melalui mujahadah dan ketaatan Rasullullah yang tidak berbelah bagi terhadap perintah Allah SWT serta kebijaksanaan Baginda dalam menyampaikan dakwah Islamiah menjadikan Baginda sebagai contoh terbaik kepada seluruh umat Islam.

5.2 Hikayat tentang Nabi-nabi.

Hikayat ini baik yang berbentuk lisan atau tulisan amat popular sama seperti

Hikayat Nabi Muhammad. Misalnya ‘Qisas al-Anbia’ yang menceritakan kisah kesungguhan para Nabi dan Rasul dalam menyampaikan seruan Islam kepada umat manusia dan gambaran mukjizat serta pertolongan Allah kepada para Nabi dan Rasul yang dalam menghadapi ujian dari Allah SWT. Antaranya kisah Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Sulaiman, Nabi Yunus, Nabi Musa dan Nabi Isa yang mengemukakan pelbagai pengajaran kepada umat Islam. Sungguhpun begitu, terselit juga unsur-unsur yang kurang benar daripada segi sejarah dan pengajaran Islam. Hal ini terjadi kerana pengaruh Israiliat yang banyak terdapat dalam karya Parsi dan juga kepercayaan masyarakat setempat.

5.3 Hikayat tentang Para Sahabat.

Fungsi hikayat ini adalah bertujuan untuk mendekatkan para pembaca atau pendengar dengan watak yang terdiri daripada kalangan orang biasa. Keteguhan keimanan dan ketaatan dalam membantu perjuangan Rasullullah, maka para sahabat berjaya memperolehi kemuliaan dan kejayaan. Melalui penceritaan berbentuk lisan mengenai kepahitan yang dilalui oleh Bilal ibn Rabah, kebijaksanaan Abu Bakar al- Siddiq r.a serta kezuhudan Saiyidina Umar al-Khatab r.a dijadikan sebagai isi pengajaran dan pembelajaran akhlak di masjid dan madrasah. Antaranya ‘Hikayat Abu Bakar’, ‘Hikayat Amir al-Mu’minin Umar’ dan lain-lain. Penceritaan kisah para sahabat lebih bercorak realistik dan benar. Hal ini berbeza dengan ‘Hikayat Tamim al-Dari’ yang penuh fantasi dan kehidupan di alam ghaib. Walaupun begitu, semua karya ini berfungsi bagi pemaparan contoh akhlak dan peribadi mulia para sahabat dalam mendapatkan keredhaan dari Allah SWT.

5.4 Hikayat tentang Pahlawan Islam.

Hikayat jenis ini boleh dikategorikan sebagai epik Islam kerana memberi gambaran mengenai kedudukan yangan tinggi dan mulia kepada para pahlawan Islam yang mati syahid dalam menegakkan syiar Islam. Contoh ‘Hikayat Muhammad Hanafiah’ dan ‘Hikayat Amir Hamzah’ dan ‘Hikayat Iskandar Zulkarnain’ yang diterjemahkan dari Parsi dan mengandungi unsur Israiliat. Walaupun memiliki bentuk yang kompleks, ia dapat melahirkan semangat kepada para pejuang dalam menentang musuh. Contohnya ‘Sejarah Melayu’ ada menceritakan tentang pembacaan cerita ‘Hikayat Muhammad Hanfiah’ kepada hulubalang Melaka dalam menghadapi serangan Portugis bagi menaikkan semangat untuk berjuang sepertimana keberanian Muhammad Hanafiah dan pengikutnya.

5.5 Hikayat tentang Ulama Dan Orang Alim.

Hikayat ini memerikan mengenai kewarakan dan kesungguhan orang-orang soleh dalam mencari keredhaan Allah SWT. Misalnya ‘Hikayat Wasiat Luqman al-Hakim’ yang bersumberkan al-Quran mengajar manusia supaya mencontohi sifat terpuji Luqman dalam mendidik dan berdakwah. Peringatan mengenai seksaan kubur terhadap segala perbuatan manusia semasa hidup di dunia jelas tertulis dalam Hikayat Jumjumah. Manakala dalam ‘Hikayat Sultan Ibrahin bin Adham’ pula menggunakan pendekatan dakwah secara halus kepada manusia supaya menolak pengaruh atau sifat kebendaan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Secara umumnya penghasilan hikayat-hikayat tersebut bertujuan untuk memberi panduan dan pengajaran kepada umat manusia dalam kehidupan mereka di dunia dan juga kehidupan di akhirat yang hakiki.

6. ANALISIS TEKS HIKAYAT MUHAMMAD HANAFIAH.

6.1 Pengenalan Teks

‘Hikayat Muhammad Hanafiah’ telah ditulis oleh pengarang Parsi yang tidak diketahui namanya. Hikayat ini wujud dalam pelbagai versi. Antaranya dalam bahasa Bugis, Minangkabau, Jawa, Makasar, Turki, Hindustan dan Punjab.

Analisis dibuat berdasarkan teks terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1988. Teks kajian ini adalah hasil terjemahan oleh Junaidah Salleh, Nor Azmah Shahidan dan Mokhtar Ahmad ke dalam bahasa Melayu. Teks ini diterjemah dari kajian asal berbahasa Inggeris dengan tajuknya ‘The Muhammad Hanafiah’ oleh L. F. Brakel dan diterbitkan oleh Koninklijk Institute Voor Taal-Land-en Volkenkunde pada tahun 1975.

Teks ini mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi 26 bab yang mengisahkan Rasullullah SAW didatangi Malaikat Jibrail untuk memberitahu mengenai kematian cucu baginda, pemerintahan Abu Bakar, pembunuhan Umar, fitnah pada zaman pemerintahan Usman, peperangan antara Ali dan Muawiyah dan berakhir dengan kematian Husain di Karbala. Manakala bahagian kedua mengandungi 22 bab pula bermula dengan Muhammad Hanafiah menerima surat daripada Husain agar beliau menuntut bela di atas pembunuhannya, diikuti oleh peperangan dengan Yazid dan kejayaan Muhammad Hanafiah membebaskan Zainal Abidin. Kisah ini berakhir dengan Muhammad Hanafiah terperangkap di dalam gua ketika sedang menentang pengikut Yazid.

Secara dasarnya penulisan hikayat ini adalah mengikut kehendak penulis yang mahu mengangkat keturunan Ali sebagai Khalifah yang sah. Sehubungan itu terdapat banyak unsur bidaah seperti rekaan firman Allah dan sabda Nabi Muhammad yang bertujuan menguatkan hujah bagi mengagungkan watak Ali sebagai seorang khalifah. Walaupun jalan ceritanya berdasarkan sejarah tetapi pengarang telah menokok tambah cerita sehingga terkeluar dari landasan sejarah. Misalnya kemunculan watak para sahabat nabi kadangkala tidak menyamai zaman hidup mereka. Hikayat ini mengandungi unsur Israiliyat dan tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Sungguhpun begitu, hikayat ini banyak mengandungi unsur yang boleh dijadikan pengajaran kepada seluruh umat Islam. Contohnya dipaparkan perbuatan dendam dan fitnah yang telah memecah-belahkan masyarakat selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

6.2 Hasil Analisis Teks Hikayat Muhammad Hanafiah.

Penganalisian teks ini dibuat berdasarkan ciri-ciri sastera pengaruh Islam. Antaranya mengungkapkan kata-kata pujian kepada Allah pada permulaan cerita dapat dilihat dalam bahagian pertama pada bab I.1 :

Hāda ̓ l-hikāyat maqtal Husain.

Bismillāhi r-Rahmāni ̛r-Rahῑmi wa biHi nastac ῑnu ya ̛ Llāhu Ἰ-a

1 Ini hikayat rasul Allah salla ̓ Llāhu calayhi wa sallam.

.........................................................................................................

..........................................................................................................

Dalam contoh di atas, jelas terdapat ciri-ciri pengaruh Islam dalam teks kajian ini iaitu kata-kata memuji nama Allah s.w.t pada baris ke-2. Maksud ayat di atas ialah “Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang dan dengan-Nya kami memohon pertolongan.”

Selain itu analisis dari ayat di atas juga dapat membuktikan penggunaan tanda baris pada fonem tertentu walaupun teks ini telah diterjemahkan sepenuhnya ke dalam tulisan Melayu klasik berbanding dengan yang dahulu ditulis menggunakan tulisan jawi. Hal ini bagi memudahkan penyebutan mengikut nahu Arab. [ ā ] bermaksud [ ا ] misalnya pada perkataan ‘hikāyat’, di mana sebutan ‘kā’ itu, tekanan suara harus dilakukan semasa menyebutnya.

Analisis berikutnya menunjukkan penggunaan kata pinjaman Arab. Teks kajian ini mengandungi banyak kata pinjaman bahasa Arab memandangkan ia adalah terjemahan penuh dari teks asalnya. Terdapat juga sesetengah perkataan Arab yang telah diambil dan disesuaikan dengan nahu Melayu misalnya ‘kadam’, tetapi di dalam sebutan Arab ia berbunyi ‘khadam’ ( خدم ) :

……………………………………………………………………

“Ya ayahanda! Betapa hamba akan nyinyah. Bahwa akan

235 hamba hendak mengikut kadam ayahanda!” Tatkala Fatimah

…………………………………………………………………

( Bahagian I.6 : baris 235 )

Contoh lain bagi penggunaan kata pinjaman Arab bagi perkataan hikāyat’ adalah kata pinjaman Arab ( حكاية ) bermaksud cerita atau kisah. Contoh lain pula ialah perkataan ‘lacnah’ juga perkataan pinjaman Arab iaitu ( لعنة ) yang bermaksud ‘laknat’, ‘dhacif , ( ﻀﻌﯿﻒ ) jināzah ( ﺠﻨﺎﺰﺓ) yang bermaksud jenazah dan lain-lain.

Kajian teks ini juga mendapati mendapati adanya unsur Israiliyat dari penulis. Misalnya dari contoh yang ditunjukkan di bawah mengenai firman Allah yang sengaja diada-adakan atas tujuan tertentu. Ini kerana firman ini bertentangan dengan konsep Islam itu sendiri di mana tiada paksaan ke atas seseorang manusia itu untuk memeluk Islam. Dalam Islam hukum bunuh itu akan dijatuhkan pada umat yang mengkhianati Islam seperti perbuatan murtad. Hasil analisis juga berjaya mengesan pengaruh Islam aliran Syiah dalam teks Muhammad Hanafiah ini. Pada dasarnya penulisan teks ini adalah dari sudut pandangan Syiah yang mengangkat keturunan Ali sebagai Khalifah yang sah. Pengaruh Syiah yang ditonjolkan penulis adalah disebabkan penulis asal teks ini adalah berbangsa Parsi. Kerajaan Parsi sekarang telah menjadi negara Iran yang memang dikenali dengan para pengikut dari aliran Syiah. Pengikut Aliran Syiah amat terkenal dengan sifat fanatik dalam mengagungkan keturunan Ali. Dengan ini penulis memasukkan unsur Israiliyat bagi menguatkan tujuan pengagungan mereka terhadap Ali. Contoh unsur Israiliyat dalam teks ialah melalui petikan rekaan firman di bawah :

.................................................................Maka Amir

60 al-mu’minĩn Umar bersabda: “Ya Ali ! Karena ia tiada mau

masuk Islam, sebab itulah hamba bunuh, karena

firman Allah subhānaHu wa tacālā : “wa qātilu ‘l-muŝrikĩnā

kāffatan,” (ertinya : bunuh oleh kamu segala kafir yang

tidak mau masuk Islam). Maka kata Ali : .....................

...............................................................................................

( Bahagian I.11 : baris 62-64 )

Hikayat Muhammad Hanafiah ini jelas mempunyai pengaruh Islam kerana penceritaannya jelas berkaitan dengan kisah Rasullulah, Malaikat Jibrail, para Sahabat dan keluarga Baginda. Contoh ayat di bawah menunjukkan perbualan Rasullullah dengan Malaikat Jibrail. Sejarah Islam juga ada menceritakan mengenai pertemuan ini.

...............................Maka ujar Jibrail : “adapun yang memilih

Pakayan hijau itu, matinya kena racun : yang memilih pakayan

merah Itu, matinya terbunuh oleh senjata !” Serta nabi Allah

40 mendengar kata Jibrail demikian itu, maka rasul Allahpun menangis,

Serta rasul Allah bersabda : “Yā axĩ Jibrail ! Siapa yang

menganiayai cucuku, orang manakah ia ?” Maka ujar Jibrail :

“Daripada ummat tuan hambalah !” Maka ujar nabi Allah :

“Tatkala itu aku di mana ?”................................................

..............................................................................................

( Bahagian I.2b : baris 37-44 )

Ciri lain pengaruh Islam dalam kajian teks ini menemui banyak bentuk ayat yang diterjemah sepenuhnya mengikut bentuk bahasa Arab. Apabila diterjemahkan tanpa mengubah bentuk ayat tersebut mengikut bentuk ayat dalam bahasa Melayu, maka ayat itu menjadi ayat aktif dan ayat songsang.Contoh seperti di bawah :

I.3,

1 Adapun akan rasul Allah ada sembilan isteri baginda : pertama

Khadijah, kedua A’isyah, ketiga Salamah, keempat Zainab, ke-

lima Ummi Habibah, keenam Mariah, ketujuh Safiyyah,

kelapan Hafsah, kesembilam Maimunah.......................

...........................................................................................

Jika diteliti pada baris pertama bahagian I.3 dalam petikan teks di atas. Jelas ayat tersebut berbentuk ayat songsang kerana jika di dalam bahasa Melayu ayat itu boleh ditulis menjadi bentuk ayat aktif ‘Adapun akan baginda rasul Allah ada sembilan isteri’. Walau bagaimanapun di dalam penulisan karya sastera bentuk ayat tidak terikat kerana ia adalah bertujuan menimbulkan keindahan. Apa yang ingin ditunjukkan dalam contoh di atas adalah bentuk ayat yang diiterjemahkan terus dari bahasa Arab ke bahasa Melayu klasik tanpa mengubah bentuk sintaksisnya.

Bukti pengaruh Islam dalam teks ini juga dapat dikesan apabila penceritaannya memasukkan perkara dan rukun dalam Islam. Antara rukun Islam ialah pembayaran zakat yang wajib dilakukan oleh umat Islam jika telah cukup syarat-syaratnya. Contoh ditunjukkan dalam petikan di bawah :

............................................................................................

.........................................Dengan berkat rasul Allah kam-

70 bing kurus itupun menjadi tambunlah ia dan kedalnyapun hi-

lang. Maka Taclabahpun kembali membawa kambing itu,di-

Hidupinya. Berapa lamanya, maka kambing itupun beranak

dua-dua, dan anaknya itupun menurut ibunya beranak dua-dua.

Demikian juga ia beranak dua-dua. Setelah berapa lamanya,

75 Maka kambingpun banyaklah, maka perlulah ke atasnya mengeluar-

kan zakat hak Allah tacālā. Setelah banyaklah kambingnya,

.......................................................................................................

KESIMPULAN

Hasil keseluruhan ke atas kajian ‘Sastera Pengaruh Islam’, ini dapatlah disimpulkan bahawa hasil-hasil karya Melayu sama ada yang berbentuk prosa dan puisi naratif mahu pun bukan naratif menerima pengaruh Islam sebaik sahaja kedatangan Islam ke Nusantara pada abad ke 13. Hal ini berlaku kerana para pendakwah telah menggunakan bidang kesusasteraan sebagai medium penyampaian dakwah Islamiah kepada masyarkat Melayu. Proses ini mudah kerana masyarakat Melayu pada masa itu amat meminati dan telah terbiasa dengan corak kesusasteraan pengaruh Hindu-Buddha seperti hikayat dewa-dewa Hindu. Masyarakat Melayu mudah menerima Islam kerana tiadanya perbezaan taraf atau kasta seperti yang diamalkan oleh agama Hindu serta manusia menyembah Allah yang Satu berbanding Hindu yang memuja pelbagai dewa.

Ciri-ciri sastera pengaruh Islam yang dikenalpasti terdapat dalam hasil sastera Melayu adalah bertulisan Jawi. Huruf atau askara dipinjam daripada bahasa Arab, kemudiannya ditambah dengan askrara baharu mengikut kesesuaian sebutan dan nahu Melayu. Ciri kedua ialah penggunaan kata pinjaman dan bentuk ayat pengaruh bentuk bahasa Arab secara sepenuhnya. Hampir kesemua ayat yang digunakan adalah bentuk ayat aktif dan ayat songsang termasuk penggunaan tanda baris pada sesetengah fonem bagi tujuan penyebutan kaedah Arab. Ciri ketiga permulaan cerita mengungkapkan kata-kata pujian kepada Allah. Ciri keempat pula penceritaan hikayat adalah mengenai Nabi Muhammad, Para Nabi, Para Sahabat, Pahlawan Islam dan Para Alim Ulama. Gambaran unsur Islam dalam adat istiadat seperti mengaji, khatam dan menghafaz Al-Qur’an, mendirikan solat serta perkara yang menjadi rukun dalam Islam adalah antara ciri-ciri pengaruh Islam dalam karya sastera . Ciri terakhir ialah unsur imaginasi dan khayalan seperti unsur Israiliyat juga bercirikan Islam.

Seterusnya teori-teori mengenai sejarah bila dan dari mana Islam itu masuk ke Nusantara telah memeringkatkan perkembangan kesusasteraan pengaruh Islam mengikut peringkat pembentukan pusat-pusat perkembangan Islam di Nusantara iaitu Zaman Samudera-Pasai (1280-1400), Zaman Melaka (1400-1511), Zaman Acheh (1511-1650) dan Zaman Johor-Riau (1650-1800) yang menunjukkan ramai penulis-penulis yang masyhur bersama hasil karya mereka.

Hasil kajian juga membincangkan aspek fungsi dan makna prosa naratif pengaruh Islam yang dikategorikan kepada lima iaitu Hikayat tentang Nabi Muhammad SAW, Hikayat tentang Nabi-nabi, Hikayat tentang Para Sahabat, Hikayat tentang Pahlawan Islam dan Hikayat tentang Ulama Dan Orang Alim.

Terakhir, kajian teks ‘Muhammad Hanafiah’ telah dipilih bagi menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai ciri-ciri pengaruh Islam dalam karya Melayu. Antara lain membuktikan wujudnya pengaruh Arab dari segi pemilihan diksi, sintaksis, penggunaan unsur Israiliyat dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan ajaran dan budaya Islam. Tidak terkecuali kajian mendapati adanya unsur pengaruh Syiah yang mempamerkan sikap mengagung-agungkan keturunan Ali sehingga penulis mereka-reka perkara yang tidak benar dan terkeluar dari landasan sejarah yang sebenar. Kesimpulannya karya-karya sastera Melayu pengaruh Islam pada abad ke 13 hingga ke awal abad 16 kebanyakannya diterjemah atau disadur dari karya Arab dan Parsi. Pada zaman Kerajaan Acheh pada abad ke 16 dan zaman kerajaan yang seterusnya barulah lahir karya-karya asli dari penulis seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Raja Ali Haji, Tun Sri Lanang dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment